Kerani bank dibakar depan rumah
2012/06/29
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supt Nazri Nawawi, berkata ketika kejadian mangsa yang dikenali sebagai P Yoga Ambiga, 27, baru pulang dari kerja di sebuah bank di Medan Pasar pada jam 10.15 malam.
"Barang-barang berharga milik mangsa seperti dompet dan telefon bimbit masih berada pada mangsa dan kita tidak menolak kemungkinan motif kejadian adalah disebabkan cemburu," katanya.
Katanya, polis masih menyiasat bahan yang digunakan oleh suspek untuk membakar mangsa.
Mangsa menetap di rumah itu bersama kakaknya sejak lima tahun lalu.
Sementara itu, seorang saksi kejadian itu yang hanya ingin dikenali sebagai Efa, 32, yang juga jiran mangsa berkata, ketika kejadian dia sedang menonton televisyen di rumahnya sebelum terdengar bunyi bising dan suara orang menjerit di luar rumahnya.
"Saya dengar bunyi orang menjerit dua kali sahaja dan kira-kira 10 minit selepas itu saya buka pintu saya tengok ada seorang wanita berada dalam keadaan tertiarap dan seluruh badannya hangus terbakar.
"Dalam masa itu juga ada jiran lain yang datang untuk padamkan api," katanya.
Efa berkata, ia berlaku begitu pantas kerana selepas 10 minit kemudian mangsa sudah tidak bernyawa dan kejadian itu tidak disedari kakak mangsa yang berada di dalam rumah kerana beliau pekak dan bisu.
"Saya rasa mangsa mungkin dipukul terlebih dahulu sebelum dibakar kerana itu jeritan suaranya hanya kedengaran sayup sahaja," katanya.
Katanya, sebelum kejadian itu, terdapat jiran yang melihat kelibat orang luar di kawasan sekitar apartmen sejak 7.30 malam. - BERNAMA