Nuffnang Ads

Thursday, July 12, 2012

Sasha Saidin Belum Terfikir Terima Salyo Kembali


Sasha Saidin Belum Terfikir Terima Salyo Kembali

Teks oleh Syafiqah Jalal
KUALA LUMPUR, 12 JULAI 2012: Siapa sangka, selebriti yang sepi daripada kontroversi rumah tangga dan dianggap bahagia seperti bekas anggota kumpulan Elite, Sasha Saidin telah pun bercerai dengan bekas suaminya, Salyo Priyanto, 37, pada Selasa lalu.
Namun, Sasha Saidin,36, sehingga kini cuba untuk tidak mendedahkan punca sebenar masalah rumah tangganya bersama bekas suaminya yang berasal dari Indonesia itu bagi menjaga nama baik kedua-dua belah pihak keluarga,
Walau bagaimana pun, Sasha berkata sudah pelbagai usaha yang dilakukan termasuk menerima kaunseling daripada keluarga kedua-dua belah pihak, namun akhirnya menemui jalan perpisahan.
"Sebagai orang Islam tidak patut dan baik rasanya untuk saya mendedahkan keburukan seseorang itu walaupun dia kini sudah menjadi bekas suami saya. Saya tidak mahu mendedahkan puncanya demi menghormati Salyo. Apa-apa pun, kami sudah pun bercerai dengan cara baik," katanya ketika dihubungi oleh murai.com.my
Salyo melafazkan cerai dengan talak satu terhadap Sasha di Mahkamah Rendah Syariah Gombak selepas kedua-keduanya bersetuju untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka secara baik.
Ketika ditanya kepada Sasha, masihkah ada peluang untuk mereka kembali bersama sebagai pasangan suami isteri, dia menjawab tiada buat masa yang terdekat ini.
"Buat masa sekarang, saya fikir tak mungkin saya akan kembali lagi kepada Salyo kerana saya sendiri yang memfailkan cerai ini, malah sebelum ini sudah pelbagai usaha kami lakukan untuk berbaik semula tetapi gagal.
"Saya rasa kini lebih baik kami membawa haluan hidup masing-masing tetapi masih tidak melepaskan tanggungjawab terhadap satu-satunya anak kami, Arya (Adam Aryasenna Notosoemarsono).
"Arya kini lebih banyak bersama saya, tetapi setiap hujung minggu Salyo akan datang melawatnya.
"Apa-apa pun, jodoh pertemuan akan datang saya hanya berserah kepada Tuhan," jelasnya lagi.
Meskipun sudah berpisah, Sasha memberitahu hubungannya dengan bekas suami dan keluarga pihak bekas suami masih baik, malah merancang untuk mengunjungi keluarga Salyo di Indonesia selepas menjelangnya Aidilfitri.
Sasha dan Salyo telah berkahwin pada tahun 2007 dan dikurniakan seorang anak iaitu Adam Aryasenna Notosoemarsono, berusia tiga tahun.
Sebelum perkahwinan itu, Sasha pernah bernikah dengan Jason Skinner atau nama Islamnya, Johan Abdullah Skinner, pada 21 Jun 2003 di Masjid Central Regent Park, London, namun mereka berpisah empat tahun kemudian

pasti anda rasa HEBAT