Bayi Ditinggal Atas Bonet Kereta Dekat Masjid
MUAR – “Saya sangka ada orang hantar barang, tetapi terkejut apabila buka kotak ini terdapat satu beg hitam mengandungi seorang bayi perempuan yang sedang menangis dalam keadaan berpeluh,” kata Abd Rashid Sirat.
Bayi malang yang masih bertali pusat dan hanya dibalut dengan tuala dijumpai oleh Abd Rashid ditinggalkan dalam kotak polistren putih di atas bonet kereta Honda Civic miliknya di sebuah masjid di Parit Pechah, Parit Jawa dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, Abd Rashid menyedari kewujudan kotak itu ketika menghampiri keretanya untuk pulang ke rumah selepas selesai menunaikan solat subuh di masjid berkenaan.
Menurutnya, walaupun berasa pelik tetapi dia tergerak hati untuk membuka kotak itu dan terkejut melihat seorang bayi perempuan sedang menangis.
“Tanpa berlengah saya segera memanggil jemaah lain yang masih berada dalam masjid untuk memaklumkan penemuan bayi ini. Mujur saya cepat buka kotak ini, jika tidak pasti bayi malang ini sudah lemas kerana kotak polistren putih ini kedap udara,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Turut ditemui dalam beg itu ialah sekeping kertas mengandungi nama bayi berkenaan iaitu Salamiah Hasanah Khairulanam dan ibunya, Sri Susanti serta pesanan mengatakan tidak mampu memelihara bayi itu dan akan menunggunya di Jakarta, Indonesia.
Abd Rashid berkata, dia tidak pasti berapa lama bayi itu ditinggalkan kerana sewaktu tiba di masjid kira-kira jam 5.30 pagi tidak menemui sebarang kotak atau tiada kelibat individu mencurigakan berhampiran masjid itu.
Katanya lagi, dia dan rakan-rakan membawa bayi itu masuk ke dalam masjid supaya tidak kesejukan sebelum membuat laporan di Balai Polis Parit Jawa.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan mengenai penemuan bayi malang itu.
“Berdasarkan tali pusat yang masih melekat pada bayi, kemungkinan bayi itu baru dilahirkan beberapa hari lalu.
“Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Jelas beliau, polis kini sedang giat mengesan individu bertanggungjawab membuang bayi itu.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
Selain itu, beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan bayi itu menghubungi IPD Muar atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.