MARANG: “Sebaik mendengar bunyi mencurigakan, saya membuka mata sebelum tergamam melihat sebilah parang panjang diacukan ke muka.
“Bimbang tiga cucu dan isteri dicederakan, saya terpaksa mendiamkan diri,” kata Kamarudin Hamzah, 71, yang menjadi mangsa samun empat lelaki bertopeng di Kampung Undang, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi, banglo dua tingkat milik anak bongsunya, Nurhayati, 38, dan suami, Asri Ismail, 45, dimasuki empat penyamun bersenjatakan parang menerusi pintu belakang sebelum mengopak pintu bilik warga emas itu di tingkat bawah serta anaknya yang tidur di tingkat atas.
Ketika kejadian, Kamarudin dan isteri, Khatijah Saad, 67, bersama tiga cucunya masing-masing berusia tiga, lima dan 12 tahun tidur di tingkat bawah manakala anak serta menantunya tidur di tingkat atas bersama anak bongsu berusia sembilan bulan.
Selain melarikan barangan kemas, lima telefon bimbit, komputer riba dan kamera dengan kerugian dianggarkan bernilai RM70,000, keempat-empat penyamun itu sempat menikmati buah-buahan dalam peti sejuk termasuk tembikai dan epal.
Menurutnya, penyamun dipercayai menggunakan pemutar skru untuk memasuki biliknya manakala bilik anak dan menantunya dipecahkan menggunakan tong gas.
Kamarudin berkata, dia bersama menantu dan cucu berusia 12 tahun diikat tangan dan kaki dengan wayar panjang manakala yang lain hanya diawasi seorang penyamun yang bersenjatakan parang.
“Penyamun juga menutup kepala saya dan menantu dengan kain batik bagi mengelak kami melihat pergerakan mereka.
“Saya dan menantu hanya mampu mendiamkan diri serta membiarkan keempat-empat mereka menyelongkar semua barang dalam bilik dan ruang tamu.
“Selepas sejam, penyamun melarikan diri bersama barangan kemas, telefon bimbit dan komputer riba milik ahli keluarga,” katanya yang sudah enam tahun tinggal di rumah berkenaan.
Sementara itu, Khatijah berkata, dia yang sedang tidur dikejutkan dengan suara memintanya bangun dan mendiamkan diri sambil bertanya tempat barang berharga disimpan.
Katanya, penyamun turut melarikan rantai pusaka milik arwah ibunya selain mengambil satu bekas mengandungi pelbagai barangan kemas disimpan di bawah katil.
“Saya hanya mampu berdoa semoga kami sekeluarga tidak dicederakan, malah menantu turut meminta penyamun itu mengambil apa saja barang berharga yang ada tetapi tidak mengapa-apakan kami.
“Sebelum melarikan diri, penyamun sempat mengumpulkan kami sekeluarga di sebuah bilik di tingkat bawah sambil berpesan supaya jangan melihat mereka. Mungkin mereka tidak mahu kami nampak mereka melarikan diri,” katanya.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya yang dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan berusaha memburu suspek.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/09