SEBELUM ini penyanyi, Elly Mazlein memberi jawapan yang kurang jelas terhadap status sebenar pertunangannya bersama pengarah drama, Azmi Hatta, 37, yang dikhabarkan telah berakhir.
Kini semuanya terjawab apabila pengarah drama Epilog Cinta Khirana, itu menegaskan mereka masih bersama dan menafikan dakwaan pertunangan mereka telah berakhir.
“Saya masih sayangkan dia dan dan hubungan kami masih sama seperti sebelum ini. Cuma sekarang kami jarang bertemu memandangkan masing-masing sibuk dengan kerjaya tambahan pula saya terpaksa menjalani penggambaran di merata tempat.
“Saya sendiri tidak tahu bagaimana khabar angin yang mengatakan pertunangan kami telah terputus ini mula timbul. Mungkin ia berpunca daripada masa yang kami ambil terlalu lama untuk mendirikan rumah tangga bersama,” jelasnya ketika ditemui pada penggambaran drama Epilog Cinta Khirana bertempat di Seksyen 7, Shah Alam, baru-baru ini.
Pasangan yang berkenalan sejak 2009 itu sepatutnya bernikah pada Februari tahun lalu, namun ia masih lagi tertangguh sehingga sekarang.
“Memang kami merancang untuk berkahwin tapi ia tidaklah semudah yang dibayangkan. Buat masa ini kami sedang berusaha memantapkan diri masing-masing sebelum menempuhi kehidupan berumah tangga yang mungkin lebih besar dugaannya.
“Selain daripada itu, saya juga ada tanggungjawab yang perlu dijalankan terhadap dua orang anak saya. Elly pula ada keluarga. Saya tak mahu abaikan mana-mana pihak termasuk diri Elly”, katanya.
Tambah Azmi, gosip yang tersebar terhadap hubungan pertunangannya itu sedikit sebanyak memberi kesan terhadap dirinya.
“Secara jujurnya, saya memang tidak selesa dengan situasi ini di mana ada pihak yang cuba reka cerita terhadap hubungan kami.
“Sebagai pengarah, saya perlu berhadapan dengan pelbagai pihak dan begitu juga dengan Elly yang sudah tentu terpaksa berhadapan dengan peminatnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azmi masih enggan memberitahu tarikh yang telah dipilih untuk mengadakan perkahwinan mereka.
“Insya-ALLAH. Tarikhnya saya belum boleh kongsikan lagi tapi ia akan dijalankan dalam masa yang terdekat. Kalau boleh kami mahu tarikh yang dipilih itu masa yang tepat.
“Bukannya mahu terus rahsiakan tentang perkahwinan kami, tapi perkara ini saya perlu berbincang terlebih dahulu dengan Elly,” jawabnya